Sabtu, 20 Februari 2010

Mencintai Haiwan



Rafeah & Gadafi


Teman-teman, perlu kita ketahui,,


DALAM Islam, pembunuhan pada asasnya dilarang terutamanya pembunuhan yang membabitkan jiwa, bahkan mereka yang melakukan jenayah terbabit dikira melakukan dosa besar.

Jika membunuh itu dilarang, maka perbuatan jenayah lain seperti melukakan dan mencederakan orang juga satu kesalahan dan dipandang keji dan pelaku patut dihukum!


Firman Allah dalam surah an-Nisa', ayat 93, bermaksud:

"Sesiapa membunuh orang mukmin dengan sengaja, balasannya neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, Allah murka kepadanya serta dikutuki-Nya dan disediakan-Nya seksa yang berat."


Persoalannya, bagaimana pula hukum membunuh binatang?

Apakah situasinya sama dengan membunuh manusia?

Secara umumnya, Islam bukan saja melarang membunuh dan menganiaya makhluk sama ada manusia atau haiwan malah tumbuhan dan alam sekitar di sekeliling kita juga.
info:
.:Fatwa Jabatan Mufti Brunei menyatakan, membunuh binatang dilarang, melainkan yang ditetapkan atau diharuskan syarak boleh dibunuh atau ada sebab lain yang mengharuskan:.

:.-seperti yang kita-kita tahu-:.,,,,


situasi:

"Jika binatang itu membahayakan atau memudaratkan sama ada tabiat semula jadi seperti binatang buas, singa dan serigala atau memang tabiat semula jadinya tidak membahayakan tetapi kadangkala sesuatu membahayakan dan menjadi ganas seperti anjing pengigit atau anjing gila.

solution:

"Dalam hal ini, boleh dicegah bahayanya itu menurut kesesuaian termasuk membunuhnya."

( jangan lah pula kita kacau diorang,, habitat diorang.. )

Banyak cerita mengenai balasan Allah terhadap orang yang menyeksa binatang ni sehingga mati... contohnya dalam hadis seperti seorang wanita diseksa pada hari kiamat disebabkan mengurung seekor kucing sehingga mati. Kasihan kucing yang tidak berdosa tu..

Disebabkan perbuatan wanita itu mengurung kucing yang tak berdosa tu tanpa memberi makanan dan minum, Allah humbankan wanita tu ke neraka. (Hadis - Imam Muslim).

Imam Muslim juga menceritakan Rasulullah s.a.w melaknat sesiapa yang meyeksa binatang tau tak...


Jom bercerita jom:) Baca bawah ni.. semoga menjadi teladan yang baik untuk kita semua Insya Allah~~~



Menurut Imam Muslim, Allah menegur perbuatan seorang nabi yang menyuruh membakar semut, semata-mata kerana seekor semut daripada serangga tu menggigit baginda. ,

Kemudian Allah mewahyukan kepada nabi tersebut: "Hanya disebabkan seekor semut mengigitnya, dia memusnahkan suatu umat yang selalu bertasbih." (Hadis- Imam Muslim).

Imam Muslim juga menceritakan mengenai seorang yang beri minum air kepada seekor anjing yang tersangat kehausan. Bagi menghargai jasa orang tu, Allah mengampunkan dosanya. (Lihat, hanya berbuat baik dengan anjing,, diberi ganjaran yang besar oleh Allah:)

Bahkan apabila sahabat Rasulullah bertanya: "Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan-haiwan ini? Jawab Rasulullah s.a.w: "Menyayangi setiap makhluk hidup itu adalah berpahala." (Riwayat Muslim)
-------------------------------Sayangi lah Haiwan--------------------------------


Satu lagi situasi dimana tindakan membakar binatang adalah dilarang kerana ada hadis, antaranya daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tiada seorang pun seharusnya menghukum dengan api kecuali Allah." (Riwayat al-Bukhaari)
see???


Fatwa terbabit menyatakan, ada juga hadis yang menunjukkan boleh membunuh binatang seperti cicak, bahkan membunuhnya pula mendapat pahala. Binatang terbabit boleh dibunuh di tanah halal dan haram.

Menurut ulama, sebab syarak menyuruh membunuh cicak kerana ia antara binatang yang meniupkan api untuk membakar Nabi Ibrahim a.s.

Sementara itu dalam hadis lain, Nabi Muhammad s.a.w menyuruh membunuh ular, burung gagak, rajawali, kala jengking dan anjing pengigit. Binatang ini boleh dibunuh di tanah haram.

Kesimpulannya, Islam mengharuskan sesetengah binatang dibunuh jika haiwan itu mendatangkan bahaya yang tidak boleh dielak kecuali membunuhnya.. Dan juga berihsan lah kepada haiwan-haiwan serta jangan mengganggu habitat mereka.. Sesungguhnya mereka juga makhluk yang sentiasa bertasbih kepada Allah:)..



My Awan



Humaira-Pak Deh-Attar-Mae


kepada itik&ayam,, jangan terasa hati sebab tak tepek gambar kamu semua.. tapi kamu semua perlu tahu,, saya sayang kamu semua:) (walaupon kamu semua tak pandai membaca)


p/s: Saya sayang semua haiwan yang saya ada:) sangat bahagia memiliki mereka:)

Jumaat, 19 Februari 2010

DONATE OUR BLOOD


Kepentingan menderma darah

Tahu ke tak..darah yang diderma boleh menyelamatkan nyawa sesiapa sahaja?? Antaranya :
* Mangsa berantakan ( accident lah..)
* Pesakit yang menjalani pembedahan
* Baby yang baru lahir yang mengidap penyakit kuning (jaundis - ni nama saintifik die tau)
* Pesakit Thalassemia dan Hemofilia (adakah anda pembawa penyakit ini?? hihi.. mcm iklan je)
* Ibu yang mengalami tumpahan darah
(Mungkin juga akan terjadi kepada keluarga kita?? )

Menderma tanggungjawab kita bersama
Apakah usaha kita???
:Menderma darah beramai-ramai..

Apakah yang kita perlu tahu ???
:Kepentingan menderma darah.. Very important...


Ini senarai kita-kita yang layak menderma darah:-

1. Berumur 18 tahun ke atas (saya, adek, kak.ila, abang, mak, ayah dah boleyh lah sangat.. anda??)

2. Berat badan 45 kg dan ke atas { Kami lah tu(^^) }

3. Sihat tubuh badan ( Alhamdulillah kami sihat...)
---------tetapi sihat ni ade syarat tau------------------::::::::::

a) Sihat pada hari menderma (penting ni.. kalau tak macam mana nak menderma..)

b)Tidak pernah mengalami masalah semasa menderma darah ( ni sape yang ade darah gemuruh tu,, tak tau lah,, hihihi)

c)Tidak mengambil ubat aspirin atau sebarang ubatan yang lain dalam tempoh satu minggu yang lepas (kesimpulannya.. kalau dah tau nak derma darah dalam masa tedekat ni,, jauh-jauh kan lah dari sebarang pengambilan ubat-ubatan yang boleh menggangu sessi menderma darah)

d)Tidak menerima sebarang imunisasi dalam tempoh 24 jam yang lepas

e)Tidak menerima rawatan pergigian dalam tempoh 24 jam yang lepas ( kalau ditakdirkan sakit gigi time nak menderma darah tu.. nak buat macam mane kan,, rehat kat rumah yer.. )

f)Tidak mengalami selesema, batuk, sakit tekak atau sebarang jangkitan dalm tempoh satu minggu yang lepas (jaga lah kesihatan kita - banyak-banyakkan berdoa juga :)...

g)Tidak menjalani pembedahan dalam tempoh 6 bulan yang lepas

h)Tidak mengandung atau menyusu anak di bawah 1 tahun

i)Tidak pernah menerima pemindahan darah dalam tempoh 6 bulan yang lepas

j)Tidak bertindik di mana-mana bahagian tubuh badan (akupuntur, tattoo, berbekam) dalam tempoh 1 tahun yang lepas (kalau lah ada pilihan lain,, saya tak mau darah dari pemilik yang berkeadaan bertindik disana-sini)

k)Tidak mempunyai ahli keluarha yang mengidapi Hepititis B atau C ( hah,, yang ni comfirm-comfirm tak lepas nak menderma.. ada cara lain,, banyakkan bersedekah:):)..




PENTING !!!

Kita DILARANG menderma darah sekiranya :

Kita mengamalkan cara hidup yang tidak sihat (berisiko tinggi) contohnya seperti:

* Menggunakan dadah secara suntikan

* Mengamalkan homoseksual /biseksual/bertukar-tukar pasangan seks

* Mengadakan perhubungan seks dengan pelacur/melacurkan diri

* Pernah mengadakan hubungan seks dengan mereka yang tersebut di atas

* Merupakan pembawa virus Hepititis B & C atau telah dijangkiti Virus HIV atau mengidapi AIDS
-----------perkara diatas adalah HARAM hukumnya,, mintak dijauhkan----------------



Kita juga tidak digalakkan menderma jika kita,, :

1. Menghidapi penyakit-penyakit ini yer.. :

-Sifilis (penyakit kelamin)

-Malaria (bawaan nyamuk nih...)

-Sakit jantung

2. Sedang dirawati untuk apa-apa penyakit

3. Telah menjalani pembedahan kurang daripada enam bulan sebelum tarikh derma darah

4. Ibu yang sedang mengandung atau menyusukan anak

5. Bertujuan hanya untuk menguji darah sahaja



Ketahuilah jangan letakkan diri kita dan orang lain di dalam keadaan bahaya ,, darah yang selamat bermula daripada badan kita yang sihat~~ (^^)

Jika kita layak menderma, datanglah dan bawalah bersama ahli keluarga/ kawan-kawan kita yang juga layak menderma darah... Orang yang derma darah ni,, badan akan jadi lebih sihat:) (saya dengar orang cakap lah) kesimpulannya:~~

Menderma darah adalah tanggungjawab bersama

Kalau nak senang sangat,, baca ni~~ lepas tu,, kita semua boleh la menderma ramai-ramai:)::

~~~Pergi ke klinik kesihatan ,, cakap kat dia nak menderma darah( pastikan kita cakap kepada orang yang bersesuaian)- hehhe.. ~~~ tak lah... baca bawah lagi..
Ini langkah-langkah yang betul ok:)~~
1. Pergi ke Tabung Darah
2. Isi borang
3. Pemeriksaan tekanan darah & berat badan
4. Ujian kumpulan darah & tahap hemoglobin
5. Pengambilan darah
6. Rehat & jamuan ringan


-------------kadang-kadang juga--------------------------------
Ramai orang-orang kita beri alasan untuk tidak menderma...


1." Saya telah pun menderma darah sekali"
-Terima kasih atas sumbagan anda. Teruskan khidmat baik anda. Untuk pengetahuan anda, seseorang boleh menderma darah sekali dalam 3 bulan tau takk!! (teremosi pulak..hehe)

2." Darah saya bukan jenis yang betul"
-Jumpa doktor dulu,, baru lah dapat kepastian ..

3. "Orang lain sudah pun menderma, jadi kenapa pula saya lagi ? "
- Itu benar, tapi lebih ramai penderma diperlukan setiap tahun.. Tabung darah sekarang pun dah tak cukup,, Jadi setiap penderma dikira mustahak ..

4. "Saya takut sakit apabila dicucuk jarum"
- Takut eak.. Jangan bimbang ! ada berita baik ! sekarang nurse dah maju,, guna pelali je.., tak sakit lah...

5." Saya terlalu lemah"
-Sesungguhnya Allah tidak suka hambanya bersifat lemah..
Diorang akan periksa berat badan kita, tahap hemoglobin dan tekanan darah kita sebelum menderma darah. Bagaimanapun jumlah darah yang diambil akan digantikan melalui proses semulajadi dalam tubuh anda dalam beberapa jam sahaja tau.. So kita akan jadi lebih sihat:)

7." Saya terlalu sibuk "
-Orang lain pun sibuk jugak,. Insya Allah kita boleh meluangkan setengah jam atau sikit masa je untuk menyelamatkan satu nyawa :)

"Darah kita mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang dan darah orang lain pula mungkin dapat menyelamatkan nyawa kita"

Keistimewaan yang dinikmati oleh si penderma:

-Si penderma darah akan dapat menikmati rawatan percuma pesakit luar, rawatan perubatan dan caj wad di hospital tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Sila berhubung dengan pihak hospital untuk keterangan lanjut yer. Terima Kasih:)



Oleh itu...

Mendermalah sekarang semasa kita sihat dan berkelayakan

tindakan kita boleh menyelamatkan nyawa seseorang dan nyawa kita..








p/s: tak pernah lagi menderma darah.. nak sangat.. teringin... pernah nak menderma,, tapi tak lepas. Doktor cakap,, darah saya cair sangat?? erm... Untuk pengetahun.. Darah saya jenis B..

saje je nak bagitau:)

Rabu, 17 Februari 2010

Mencari Dhuha


Apakah Solat Sunat Dhuha??
: Solat dhuha adalah sembahyang sunat 2 rakaat atau lebih. Maksimanya 12 rakaat.


Daripada Abu Hurairah, Sabda Nabi saw:

"Telah berpesan kepadaku temanku (Rasulullah saw) tiga macam pesanan: Puasa 3 hari setiap bulan, sembahyang dhuha 2 rakaat dan sembahyang witir sebelum tidur" (riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Hati kecilku:
- Subhanallah.. Alhamdulillah telah daku usahakan untuk berpuasa 3 hari pada setiap bulan..
- Dhuha daku selalu mencari masa~ terkadang ada, terkadang tiada, terkadang ku masih alpa dengan kelebihan nya.. moga diberi kesempatan setiap masa.. Insya Allah daku pertinggkatkan lagi usaha ku mencari Dhuha (^^,)..
-Witir juga dalam pengusahan,, selalu leka+tidak khusyu'+malas... Tabahkan hati ku Ya Allah..



Daripada Anas, Sabda Nabi saw,
"Barang siapa sembahyang dhuha 12 rakaat, Allah akan membuat baginya istamna di syurga" (riwayat Tirmidzi & Ibnu Majah)

Dari Hati kecilku:
-Tidak pernah ku mengerjakan sebanyak itu.. bila lah agaknya perasaan teringin itu akan tiba.. Insya Allah..



Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Siapa saja yang dapat mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan."


Dari Hti kecilku:-Istiqamah kah aku...? erm..



Rasulullah bersabda lagi:
"Solat Dhuha itu mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan), dan tidak ada yang akan memelihara solat Dhuha kecuali hanya orang-orang yang bertaubat."


Dari Hati kecilku:- Ya Allah.. Terima lah taubatku.. Ya Allah.. Jauhi aku dari golongan orang-orang yang musyrik..




Di dalam hadis yang lain pula diterangkan seperti berikut:
"Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, "Dhuha." Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat Allah." Al-Tabrani


Dari Hati kecilku:- Aku mahu tergolong sebagai orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha itu..


"Ya Allah sesungguhnya waktu Dhuha, waktu dhuha-Mu, cahayanya cahayaMu,
kerinduannya kerinduanMu, kekuatannya kekuatanMu, ya Allah sekiranya rezekiku ada di langit
maka turunkannya jika ada di bumi keluarkannya.
Jika cahaya jauh pendekatannya dan jika ada hampir
maka permudahkannya dengan kebenaran dhuhaMu, cahayaMu,
kekuatanMu dan kesucianMu, berikanlah kepada hamba-hambaMu yang soleh.
Allah cucuri rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan atas keluarga
dan para sahabatnya serta kesejahteraan. Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam."




p/s: (Mod : setelah selesai menunaikan Solat Sunat Dhuha) .. Kini hati lebih bersemangat untuk teruskan kerja harian:)

Tujuh Golongan Insan Contoh


"Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.”


-Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah-



Pengajaran hadis:



i) Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :



a) Pemerintah yang adil- Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.



b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya – Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana di usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan di masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.



c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid
- Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.



d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah
- Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan tersebut mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.



e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”
- Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.



f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya
-Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya’ dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakuknnya itu.



g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah
- Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.



p/s: Semoga kita semua tergolong dalam ketujuh-tujuh golongan ini Insya Allah..

Jumaat, 12 Februari 2010

Gong Xi Fa Chai

Selamat Tahun Baru Cina To All My Chinese Friends:)

Bolehkah kita mengucapkan Selamat Hari Perayaan kepada kaum-kaum yang beragama selain dari Islam??


Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat: Jika kaum bukan Islam memulakan ucapan
selamat Hari Raya mereka kepada kita, maka kita juga harus membalas ucapan yang
serupa kepada mereka, kerana ini tidak lebih daripada hanya mewujudkan rasa simpati
antara satu sama lain. Ia tidak bermakna bahawa kita telah merelakan agama dan
kepercayaan terhadap Isa Maryam sebagai Tuhan dan lain-lain pemujaan.

Al-Qaradawi memberi beberapa alasan, antaranya: Islam tidak melarang kita berbuat
baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik
kepada mereka, sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Ayat 8 dalam surah al-
Mumtahanah yang dikemukakan terdahulu dijadikan hujah.



“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi ), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bekamu kerana ugama (kamurlaku adil.”



Menurut al-Qaradawi lagi, bidang-bidang kerjasama antara Islam dan bukan Islam
seperti bidang teknikal, ketukangan dan lain-lain masih terbuka. Bahkan Nabi s.a.w.
pernah menggunakan kepakaran seorang Yahudi bernama Abdullah Ibn Urayqit sebagai
penunjuk jalan ketika baginda berhijrah ke Madinah.

Peranan Abdullah ini sangat besar, ada kemungkinan jika dia berniat jahat pada ketika
itu, kesannya boleh menggagalkan strategi hijrah atau jika dia mengambil kesempatan
menipu, maka sudah pasti kesannya sangat buruk kepada Islam dan dakwah, namun
baginda tetap menggunakan juga khidmat kepakaran Yahudi yang bukan Islam itu.

Sebagai kesimpulan, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat harus bagi kita mengucapkan
tahniah dan selamat Hari Raya seperti hari Krismas kepada kaum bukan Islam pada
hari-hari kebesaran mereka, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum
yang berlainan agama dan kepercayaan ini.

Pendapat al-Qaradawi ini juga saya kira ada sedikit keterlaluan apabila beliau
mengharuskan ucapan tahniah kepada kaum bukan Islam sebagai ucapan balas pada
hari Krismas dan sebagainya. Ini kerana ucapan tahniah itu pada hakikatnya doa dan mengharapkan Allah memberi kebaikan kepada mereka, sedangkan ulama sepakat
menyatakan haram berdoa kepada kaum bukan Islam sekalipun ia hanya kerana
membalas ucapan yang mereka mulakan.

Saya kurang pasti apakah al-Qaradawi mengharuskan juga pengiriman perutusan kadkad
hari Krismas, jika ia hanya kerana membalas kad-kad yang mereka kirimkan,
sedangkan dalam kad-kad itu biasanya tertulis kata-kata yang berupa doa selamat,
harapan dan cita-cita yang lebih mirip kepada budaya dan syiar agama Kristian.

Setelah mempertimbangkan antara dua fatwa yang dikeluarkan oleh al-Munajjid dan al-
Qaradawi di atas, saya lebih suka memilih jalan yang lebih sederhana, iaitu individu kafir
yang dengan terang-terang memusuhi Islam dan umatnya, tidak harus diwujudkan
sebarang hubungan pada hari-hari perayaan mereka, sekalipun mereka terdiri daripada
ahli kitab.

Sebaliknya kafir yang setia kepada kerajaan Islam, seperti kaum-kaum bukan Islam
yang tinggal di Malaysia, jika mereka telah menunjukkan kesetiaan yang baik kepada
negara, memberi sumbangan ke arah keharmonian antara kaum serta hormatmenghormati
antara kaum, terutamanya dengan masyarakat Islam, maka tiada salahnya
kita berkongsi raya dengan mereka dalam hal-hal yang tidak berkaitan akidah dan tidak
menyentuh kesucian Islam.

Bagaimanapun, kita tidak harus memandang kecil isu penerapan budaya dan syiar bukan Islam yang begitu mudah menyerap ke dalam masyarakat kita, terutama melalui media elektronik yang sangat digemari oleh anak-anak kita.


Di pejabat saya pun ada 3 orang warga Chinese yang akan menyambut Tahun Baru Cina pada hari Ahad ini,, Miss Yong, Uncle Ah Yang & Uncle Guard (tak tahu nama) ~ Happy Chinese New Year & Happy Holiday:)


Banyak sangat limau mandarin di Office: kite tepek gambar!



limau manis+masam+tawar..


p/s: dah tak sabar nak balik rumah.. cuti sampai selasa.. oyeah!! katil tunggu daku!! mak..:) tunggu tirah.. hihihi.. mak masak apa malam ni? tirah balik ni mak:) ehehehehe..
SElamat Bercuti kawan-kawan sekalian.. jangan nakal2 k!

Rabu, 10 Februari 2010

Semalaman Bekerja



Alhamdulillah.. selesai sudah kerja-kerja kami di office.. semalaman tidak sempat berbaring, menyiapkan tender projek yang akan dihantar ke Kuala Lumpur sebentar sahaja lagi. Dari mata menahan dari terpejam, segar kembali, mengantok pula,, sehinggalah ke subuh.. Mujur tidak keseorangan. Ramai peneman bila mana mata mulai mengantok.. Terima kasih:)


Sangat beruntung kerana diberi cuti hari ini,, sangat memahami "supervisor" ku.. hihi.. Terima kasih EN.Josli:) tak lupa bos juga:)


Ini lah keadaan office (ni bilik mesyuarat) yang seperti tongkang pecah selama semalaman. Baru semalaman :) hihi.. Punya lah bersemangat nak siapkan tender.


p/s: daku penat- mau tidur sekarang~

Selasa, 9 Februari 2010

Tersentuh Hati Perempuanku..


Hanya ingin bekongsi cerita bersama teman-teman.. hati seorang wanita yang sanggup dikorbankan demi membahagiakan seorang insan bernama suami.. adakah diriku setabah nya??

“Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia – si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami.”

Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah.
Menjadi seorang isteri….kepada insan yang disayangi…..idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku.
Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.

“Assalamualaikum,” satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku gugup seketika.
“Waalaikumusalam,” jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku.
“Ain buat apa dalam bilik ni? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi.”

Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama aku mendengar ucapan ‘abang’ dari bibirnya.
Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai ‘buah hati’ nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan matanya.

Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.
Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata. “Ain baru je masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan?” ujarku.

“Ha’ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye?” Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku.
Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, ku salami dan ku cium tangannya, lama.

Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan aku menatap wajahnya.
“Abang…..” aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu di hadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan. Erat terasa genggamannya.
“Ya sayang…” Ahhh….bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku.
“Abang… terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah.” Tutur bicaraku ku susun satu persatu.

“Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya.”
“Insya Allah abang….Ain sayangkan abang.”

“Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.”

Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan suamiku.
Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis.
Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar ku sambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan.

Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat di Gua Hira’.

Lalu, ku cium tangannya, ku pohon ampun dan maaf. Ku hadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!

Ahhh….dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami.

“Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu.”
Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Ku hiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata-mata.

Makan minumnya ku jaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki.
Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga.

Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri.

Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.
“Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.” Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.

Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku.
Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami.
Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga.
“Ain…..abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain.”

“Apa dia abang?” tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh kasih. “Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri,” bicaranya terhenti setakat itu. Aku tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?
“Abang ada masalah ke?” Aku cuba meneka.

“Tidak Ain. Sebenarnya……,” bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya.

“Ain……abang…..abang nak minta izin Ain……untuk berkahwin lagi,” ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika aku kehilangan kata.
“A…..Abang…..nak kahwin lagi?” aku seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang.
Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain aku.
Tanpa bicara, dia mengangguk. “Dengan siapa abang?” Aku bertanya. Aku tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi….hatiku… hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.

“Faizah. Ain kenal dia, kan?”

Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu Faizah juga aktif berjemaah.
Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah.

“A….Abang……Apa salah Ain abang?” nada suaraku mula bergetar. Aku cuba menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.

“Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain.”
“Tapi….Faizah. Abang juga sayang pada Faizah….bermakna…..sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi.”

“Ain…..sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan dengan Faizah….Abang tak mahu wujud fitnah antara kami.”

“Lagipun….abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu.”

Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku?
Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.
Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.

Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu.

Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya!

Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan segalanya tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati.

Oh Tuhan…..ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan permintaannya itu.
Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ?

Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. Aku berasa amat serba-salah berada dalam keadaan demikian.

Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini, aku hanya terhibur dengan keletah anak-anak.

Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata, aku tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar terluka.
Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak matanya.

Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi?

“Oh Tuhan…berilah aku petunjukMu.” Dalam kegelapan malam, aku bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi kembali matlamat hidupku.
Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah?

Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atas ku untuk menguji keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela.
Biarlah… Bukan cinta manusia yang ku kejar. Aku hanya mengejar cinta Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?
Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah.

Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk merisik Faizah.

“Ain?……Ain serius?”

“Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau…Ain jujur terhadap abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia,” ujarku dengan senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk mengubat luka ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi cepat sembuhnya.
Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku. Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima undanganku.

Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah dia juga mesra dengan anak-anakku.
“Izah……akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak
cakapkan,” setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.

“Apa dia, Kak Ain. Cakaplah,” lembut nada suaranya.

“Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?”

“Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?” Ada nada kehairanan pada suaranya. Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan Uztazah. Aku hanya mengangguk.

“Pernah dia cakap dia sukakan Izah?”
“Sukakan Izah? Isyyy….tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari orang ke ni?”

“Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita…….” Aku terdiam seketika. “Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah jadi isterinya, Izah suka?” Dengan amat berat hati, aku tuturkan kalimah itu.

“Kak Ain!” jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. “Apa yang Kak Ain cakap ni? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain,” kata Faizah seakan tidak percaya. Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat itu. Isteri kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua suaminya.
“Tidak Izah. Akak tak bergurau……Izah sudi jadi saudara Kak Ain?” ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan. Faizah memandang tepat ke wajahku.

“Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang……Ustaz Harris…..mahu… melamar saya?”

Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah gadis yang baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat permintaan seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada Faizah akan hasrat suamiku.

Demi untuk memudahkan urusan jemaah, untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung mendengar penjelasanku.

“Kak Ain…..saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya menjadi punca hati Kak Ain terluka,” ujarnya sebak. Matanya ku lihat berkaca-kaca.

“Izah…Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang
Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji keimanan Kak Ain.”

“Kak…maafkan Izah.” Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam elukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain.

“Jadi…Izah setuju?” Soalku apabila tangisan kami telah reda.
“Kak Ain….ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain.”
“Soal Kak Ain….Izah jangan risau, hati Kak Ain…Insya Allah tahulah akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang baik buat Izah. `’

“Akak…..Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu.”
“Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada ibu bapa Izah.”
Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah…..inilah pengorbananku untuk membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.’
Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang.
Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah, keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua.

“Ain…..abang minta maaf sayang,” ujar suamiku pada suatu hari,
beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.
“Kenapa?”

“Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain. Tapi….Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang. Abang terharu. Abang….malu dengan Ain.”

“Abang….syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira. Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `’

“Ain….Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini.
Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain.”

“Tapi…abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin.”

“Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya.” Dengan lembut dia mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas.
Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya.
Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau sepicing pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru.

Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak. Merekalah teman
bermainku.

Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan.

“Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?” ujarnya lembut.
“Ain rindu abang. Rindu sangat.” Tangisku makin menjadi-jadi. Aku mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.

“Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang?” Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.
“Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain?” Aku menduga keikhlasan bicaranya.
“Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk abang.”
Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku tahu sayangnya masih utuh buatku.

Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati.
Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. Aku, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya.
Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku bertambah. Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik.
Aku rasa aku harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-akan kasih sayangku padanya.
Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. Aku habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin. Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan. Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan Maha Pencipta.
Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka. Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah juga menjadi ‘ibu’ mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik. Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain. Ahhh…anak-anak kecil. Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti adikku sendiri.

Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni. Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi….. ku kikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami.

Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku, aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku. Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai aku.
Kerana sabda Rasulullah s.a.w
“Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga.” (Riwayat-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).
Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu.
KepadaNyalah aku pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. KepadaNyalah aku pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini kan berkurangan.
Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu. Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran. Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini.
p/s: adakah ku mampu menjadi setabah ain??

Anda Juga Mungkin Meminati Ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jasa Bonda.. Keringat Ayah..

Jasa Bonda.. Keringat Ayah..