Sabtu, 7 Mei 2011

Mengapa Masakan Ibu Paling Sedap??

Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?

Kata orang, itulah penangan 'air tangan'. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak 'terlarut' bersama bahan-bahan masakan.

Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu? Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah 'air' dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan 'air tangan'. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk 'mendapat' tetapi untuk 'memberi'. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk 'memberi' kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang 'chef' yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.

Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.

Realitinya, 'air tangan' bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar. Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.

Falsafah di sebalik 'air tangan' inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:

"Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang darikamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya."






p/s: Mak Terima Kaseh sediakan bekalan dari tadika sampai la tingkatan 5 - abg aku cakap :) -I love u mom.. much2!!

Tiada ulasan:

Anda Juga Mungkin Meminati Ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jasa Bonda.. Keringat Ayah..

Jasa Bonda.. Keringat Ayah..